Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakilinya gagal dalam usaha untuk mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapi mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Azizah Nawawi, menolak dalam kamarnya, permohonan oleh Najib dan Muhammad Shafee bagi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pelantikan Sri Ram.

Najib diwakili oleh Muhammad Shafee sementara peguam Harvinderjit Singh mewakili Muhammad Shafee. Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan pula mewakili Jabatan Peguam Negara.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata permintaan yang dipohon dalam permohonan kebenaran oleh Najib dan Muhammad Shafee adalah serupa dengan permohonan yang dibuat oleh mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Hakim berkata adalah lebih sesuai bagi isu ini (pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya kanan) ditangani di Mahkamah Tinggi jenayah, kerana permohonan yang sama masih menunggu untuk didengar di mahkamah itu.

"Saya berpendapat permintaan yang dipohon di sini adalah permintaan yang sama yang dikemukakan menerusi notis usul jenayah.

"Ini bukannya isu bidang kuasa kerana mahkamah ini dan Mahkamah Jenayah mempunyai bidang kuasa mengenai perkara itu.

"Ia cuma mahkamah ini boleh mengeluarkan perintah certiorari sementara Mahkamah Jenayah boleh memberikan perintah kepada Peguam Negara (AG) untuk memberikan surat pelantikan kepada pemohon.

"Berhubung dengan perintah pengisytiharan yang dipohon, mahkamah ini dan Mahkamah Tinggi Jenayah mempunyai bidang kuasa serentak," kata beliau.

Najib dan Muhammad Shafee telah memfailkan permohonan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember tahun lepas dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya sebagai responden pertama manakala Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden kedua dan ketiga.

Dalam kedua-dua permohonan, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan oleh Peguam negara/Pendakwa Raya yang menurut mereka, tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dan dengan itu mendakwa telah melanggar Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Mereka juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah, dan memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu.

Mereka juga memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

-- BERNAMA